1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer>

Antropometrik

Ciri-ciri geometri manusia seperti berat, ketinggian, jangkauan, lilitan dan sebagainya dikenali sebagai data antropometrik. Data antropometrik merupakan himpunan ukuran dimensi fizikal, keupayaan dan batasan tubuh badan manusia, termasuklah kekuatan sistem rangka otot manusia dalam pelbagai keadaan dan tatarajah. Data ini biasanya disusun dalam bentuk jadual untuk memudahkan kita memperoleh julat setiap dimensi atau kekuatan, dengan nilai sisihan piawai dan persentil utama setiap set data.
 
Dalam kebanyakan jadual, suatu julat diberikan, ini diikuti oleh sisihan piawai, persentil pertama, persentil ke-5, persentil ke-50, persentil ke-95 dan persentil ke-99. Persentil merupakan peratus orang yang berada di bawah angka yang diberikan. Oleh itu, untuk persentil ke-5, 5% orang yang diukur mempunyai dimensi atau kekuatan di bawah angka yang diberikan. Begitu juga untuk persentil ke-99, terdapat 99% orang yang memiliki dimensi atau kekuatan di bawah nilai angka yang diberikan. Persentil 50 memberikan nilai di mana 50% individu yang diukur mempunyai dimensi atau kekuatan di bawah atau di atas nilai angka yang diberikan. Oleh itu, persentil 50 merupakan median bagi nilai terukur. Namun begitu, perlu diingat bahawa nilai median tidak sama dengan dengan nilai purata. Untuk taburan normal berbentuk loceng, nilai purata dan median adalah sama. Lazimnya, bagi set data yang tidak memiliki taburan normal berbentuk loceng, nilai purata, median dan mod adalah berbeza.
 

Bayangkan anda mereka bentuk satu produk yang akan digunakan oleh sekumpulan pengguna. Dalam reka bentuk ini, anda perlu meletakkan tombol pintu pada ukuran ketinggian tertentu supaya dapat dicapai oleh pengguna dengan selesa dan selamat. Bagi menentukan dimensi sebenar kedudukan tombol pintu ini, anda mungkin mengukur jarak jangkauan anda sendiri. Dalam kes ini, jelaslah bahawa anda satu-satunya penggunan bagi produk ini. Anda mungkin dengan selesa dapat menjangkau dan mengawal tombol pintu ini.

 

Namun begitu, bagaimana dengan pengguna lain? Bagaimana jika anda juga mengukur jarak jangkauan pengguna lain? Ini akan memberi anda satu julat atau nilai purata ukuran jangkauan di mana mungkin akan menjadi petunjuk yang lebih baik tentang reka bentuk jangkauan yang sebenarnya.Jelasnya, semakin banyak nilai ukuran yang anda peroleh, semakin tepat ukuran yang bakal anda tentukan untuk tujuan ini. Data dalam jadual antropometrik merupakan himpunan ukuran daripada kumpulan pengguna yang besar yang mewakili bangsa, latar belakang, umur dan keupayaan yang berbeza. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengintegrasikan data antropometrik ke dalam reka bentuk produk anda.


Anthropometrics (.pdf) Muat Turun Fail

Aplikasi asas data antropometrik (.pdf) Muat Turun Fail